Tuesday, September 23, 2008

PERUTUSAN AIDIL FITRI 1429H



Assalammualaikum buat warga JHEAINS dan semua pembaca blog ini...

Segala puji bagi Allah s.w.t. serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dan ahli keluargaNya serta para sahabat Baginda. Setinggi-setinggi kesyukuran dihulurkan kepada yang Maha Esa kerana dengan limpah kurniaNya masih memberi peluang kepada kita pada tahun ini untuk sekali lagi meraikan hari kemenangan yang sentiasa kita raikan setelah sebulan kita menempuh dan menunaikan perintah dariNya di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan dan kemuliaan.

Hari Raya Aidilfitri merupakan hari kemenangan dan kegembiraan bagi umat Islam di seluruh pelusuk dunia, hari yang dikurniakan Allah taala untuk meraikan kejayaan kita setelah sebulan menunaikan perintahNya dengan menahan lapar dan dahaga di bulan Ramadhan demi membuktikan akan keimanan dan kemampuan kita melaksanakan perintahNya.

Berlalunya Ramadhan merupakan satu kesedihan bagi umat Islam yang beriman dan cintakan kepada Allah taala. Bulan Ramadhan merupakan bulan penuh keberkatan dan kerahmatan berbanding dengan bulan-bulan yang lain, tetapi janganlah kita berpegang dan menyangka bahawa hanya di bulan Ramadhan sahaja adalah waktu untuk kita mengerjakan amalan, bahkan diharapkan amalan ini dapat diteruskan untuk bulan-bulan yang akan mendatang.

Ketika kita gembira menyambut perayaan Aidilfitri kali ini, janganlah kita lupa mereka yang kurang bernasib baik. Sesungguhnya ada sebahagian daripada anggota masyarakat yang fakir, miskin, anak-anak yatim dan sebagainya. Mereka wajib dibantu oleh saudara seagama yang diberikan sedikit kelebihan rezeki daripada Allah SWT dalam bentuk sedekah dan derma.

Kepada sahabat-sahabat yang akan balik berhari raya di kampung dengan menggunakan kenderaan, pastikan kenderaan berada dalam keadaan sempurna sebelum memulakan perjalanan. Pandu dengan cermat dan berhati-hati. Saya mendoakan semoga anda semua selamat sampai ke destinasi dan seterusnya merayakan Aidil Fitri dengan penuh kegembiraan bersama keluarga tercinta.

Saya juga menyeru agar kita dapat menyegerakan ibadah zakat fitrah supaya hasil kutipan ini dapat disalurkan kepada asnaf yang berhak sebelum hari lebaran menjelang tiba nanti. Peminat mercun tu, patuhilah perintah dan arahan kerajaan. Jangan nanti kita pula yang berhari raya di wad hospital.

Saya juga mengambil kesempatan melahirkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada ahli jawatankuasa Badan Kebajikan JHEAINS yang telah bertungkus lumus merangka serta menjalankan aktiviti-aktiviti bagi tahun 2008 ini. Diharapkan bagi tahun yang akan datang,usaha ini akan dapat dipertingkatkan lagi demi kebaikan kita bersama.

Kepada yang rajin membuat rumah terbuka, jangan lupa jemput-jemputlah sahabat handai terutamanya saya…

Dengan kesempatan ini saya dan semua kepada ahli jawatankuasa Badan Kebajikan JHEAINS mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN.

oleh : PENGERUSI
Badan Kebajikan JHEAINS